Jan 25, 2009

Pernah dulu, teman wanita aku sibuk bertanya, kenapa dia tidak lagi menerima ayat-ayat romantis, ayat-ayat puitis dari aku. Ya, aku memang selalu, secara spontan menghasilkan penulisan berbentuk leleh-leleh, meleret-leret, berbunga-bunga atau seumpamanya. Hal ini tidaklah menghairankan, kerana semasa zaman membesar, aku sering didedahkan karya penulisan Khairuddin Ayip atau Ahadiat Akashah. Maka, pengaruh itu memang sentiasa ada.

Hinggalah pada suatu hari aku tersedar, bahawa gaya penulisan tersebut telah berlalu zamannya. Tidak, bukan aku mengkritik atau menafikan hasil karya mereka. Tidak sama sekali. Cuma waktu sekarang aku sedar, jika aku terus mencontohi gaya penulisan sedemikian, ianya hanya akan menumpulkan aku.

Maka, saat itu, aku mula menerima masuk banyak bahan bacaan yang lain, meliputi blog-blog, buku-buku, novel-novel, malahan majalah-majalah. Aku mahukan sesuatu yang segar. Atau sekurang-kurangnya, lari dari ketepuan normaliti yang telah tertanam lama dalam minda kita semua.

Ya, kita sering mengganggap bidang penulisan sastera mestilah karya yang berat dengan permainan kata. Sedangkan, sejak bila sastera bermaksud karya yang sukar difahami?

Seharusnya sastera itu lebih bersifat menanamkan sesuatu dalam minda masyarakat. Sesuatu yang berguna, sesuatu yang mudah dihadam masyarakat, bukan berbelit-belit tapi kosong.

Mudah, berisi dan unik. Itulah penilaian aku terhadap sesebuah karya. Kini.

Jadi, biarlah aku bertatih disini. Mengasah, melatih untuk sebuah perjalanan yang panjang.


0 Comments:

Post a Comment