Mar 24, 2010

Aku rasa seperti Perempuan Plastik dalam Pekan Tenteram. Mungkin aku rasa apa yang dia patut rasa, mengambil semua rasa dia dan dia meneruskan hidupnya tanpa rasa itu. "Not worth it" katanya. Kalau dia tahu dia akan rasa apa yang dia akan rasa macam aku rasa sekarang.

Mar 11, 2010

Hari Isnin memang sibuk. Aku paling menyampah bila tiba hari pertama dalam minggu. Mungkin jika waktu pejabat bermula dari hari Ahad, mungkin aku juga akan benci hari Ahad. Pukul sepuluh pagi dan matahari yang paling memeritkan kulit. Aku terus ke kafe.

Seperti biasa, dia sudah berada di kafe dengan secawan teh tarik. Biasanya dia akan ambil sepiring kuih. Tapi hari ini, dia bertemankan sepinggan mi goreng.

Aku tarik kerusi meja sebelah dan duduk depan dia. Pukul sepuluh setengah ada kelas sama. Dia cuma diam menyuap mi dan merenung mi. Agak luar biasa bagi dia yang petah bercakap.

"Kenapa, beb?" Mungkin dia lupa cara bercakap.

"Tak ada apa-apa," balas dia sambil gelak. "Aku cuma teringat sesuatu,"

Dia kata dia, sambil menyuap mi, dengan mulut yang penuh, ayah dia selalu membeli kaset-kaset syarahan agama. Banyak koleksi kaset syarahan bersepah di rumah. Dari ustaz-ustaz yang terkenal hinggalah kiyai-kiyai dari tanah seberang yang tidak dikenali. Kalau bosan, dia akan ambil dan pasang satu pada walkman, dan baring, mendengar kaset syarahan tersebut.

Antara kisah yang menarik, sepanjang ingatannya, ialah bila seorang ustaz bertemu dengan atheis. Si atheis berkata, semua agama adalah baik, semua agama adalah bagus, tetapi dia tak dapat memilih agama mana yang betul-betul membawanya ke jalan yang benar, lantas dia memilih untuk tidak beragama. Tapi dia percaya akan tuhan.

Cuma dia tidak memilih jalan.

Aku kata, itu bukan atheis, itu pluralis.

"Yeke?" tanya dia. "Entah, aku main sebut je," jawab aku.

Dia sambung lagi, ustaz itu kata mamat tu macam orang yang cari sepasang seluar yang sempurna. Ibaratnya dia menjumpai semua seluar itu bagus dan sempurna, lantas, kerana tak mampu memilih mana satu, dia memilih untuk tidak berseluar.

Bunyi macam logik bagi aku.

Dia meneruskan suapan terakhir dan berkata, mereka; si ustaz dan mamat athies tadi sambung berborak lagi. Si ateis kuote lagi, perjalanan hidup manusia sebenarnya adalah dari tangan ke mulut.

Kalau macam tu, balas si ustaz, erti kehidupan tidak lebih daripada isi perut, maka, nilai kehidupan si atheis, tidak lebih dari apa yang keluar dari isi perut.

"Itu yang aku terfikir masa menyuap mi tadi," kata dia lagi. Sambil merenung pinggan yang kosong. Aku pun merenung sama.

Jam sudah pukul sepuluh setengah. Teh tarik dalam cawan aku baru luak suku. Dia baru separuh.

Mar 2, 2010

Aku baring lagi dengan harapan aku akan tidur lagi 30 saat. Si bodo mana entah bagitahu aku, bila nak tidur, kena kosongkan fikiran. Jangan fikirkan apa-apa. Biarkan minda kosong.

Ok, aku cuba.

Kosong --

Kosong --

Aku rasa si bodo ni mamat satu kolej dengan aku kot.

Kosong --

Yang suka pakai jersi MU tu kot. Warna merah terang benderang, macamlah kulit cerah sangat.

Kosong --

Aku ingat dia tak boleh tidur kalau ada orang pasang lagu. Sebab dia selamba je tutup radio bila dah sepuluh minit masih tak boleh tidur lagi. Lagu Roxette tengah main masa tu. Apa tajuk lagu tu? Lama gila tak dengar lagu tu. Band tu pun dah takde cerita langsung. Masa tu memang pelik sikit trendnya. Band cuma consist of dua orang je. Itu pun seorang nyanyi, seorang main gitar. Baik penyanyi tu jadi artis solo je. Senang cerita. Mungkin sebab tak seronok agaknya kalau takde member atas pentas. Tapi mesti la ada pemuzik lain. Siapa nak main dram. Siapa nak main keyboard. Kalau miming tak apalah. Tapi jadi pelik pula, sebab kamera tentu-tentu akan fokus kat spotlight utama - si penyanyi. Adalah beberapa saat bonus untuk pemain gitar tu kalau dia tak pergi dekat-dekat dengan penyanyi tu. Entah apa jadi dengan pemain gitar tu sekarang— Ok.

Ok. Petua tak boleh pakai. Aku bangun balik.

Pergi meja. Tarik kerusi. Buka komputer. Buka speaker. Bakar rokok. Capai asbak.

Daftar masuk. Fesbuk. Lagi.

Insomnia. Adalah yang paling celaka.

Berkalih dari kanan ke kiri. Telentang ke terlungkup. Separa sedar dan sedar penuh. Ini perlu dihentikan. Kau tahu bila minda paling terseksa? Bila badan penat, terlampau lesu, tapi mata belum mahu berehat.

Dan yang paling teruk bila nikotin mula terasa begitu kelat. Atau mungkin hilang rasa.

“Mungkin lepas sebatang, aku boleh tidur.”

Tapi baru separuh batang rokok terbakar, nikotin dan tar sudah terlampau berat untuk otak menerima. Dan badan masih penat, mata masih cergas.

Tetapi, kali ini yang paling teruk. Sebatang demi sebatang terbakar menjadi asap putih jerebu, dan masih tiada apa yang berlaku.

Aku buka Fesbuk.

Daftar masuk. Penuh dengan suara-suara fikiran orang lain.

“Sangat happyyy!!”
“Mungkin dia tak tahu…”
“Makan apa sedap malam2 ni?”
“Baru lepas tengok Adnan Sempit. Besh sangat!!”
“Waiting for that someone to come..”
“If only…”
“Kiamat sudah dekat. Tanda-tandanya sudah terlampau banyak. Ampunkan dosaku Tuhan”
“Tengah main FB tetiba rasa lapar…”
“Bangun tidur dan terus ke bilik air, gosok gigi, pas2 makan nasi sejuk semalam. Sedih..”

Menambahkan lagi sakit kepala.

Suggestions column - Its been a while since u make contact with Si Perempuan. Write something on her wall.

Kalau boleh aku nak write something kat muka dia terus:

AKU INSOMNIA SEBAB KAU.

*

Aku baring lagi dengan harapan aku akan tidur lagi 30 saat. Si bodo mana entah bagitahu aku, bila nak tidur, kena kosongkan fikiran. Jangan fikirkan apa-apa. Biarkan minda kosong.