Mar 11, 2010

Hari Isnin memang sibuk. Aku paling menyampah bila tiba hari pertama dalam minggu. Mungkin jika waktu pejabat bermula dari hari Ahad, mungkin aku juga akan benci hari Ahad. Pukul sepuluh pagi dan matahari yang paling memeritkan kulit. Aku terus ke kafe.

Seperti biasa, dia sudah berada di kafe dengan secawan teh tarik. Biasanya dia akan ambil sepiring kuih. Tapi hari ini, dia bertemankan sepinggan mi goreng.

Aku tarik kerusi meja sebelah dan duduk depan dia. Pukul sepuluh setengah ada kelas sama. Dia cuma diam menyuap mi dan merenung mi. Agak luar biasa bagi dia yang petah bercakap.

"Kenapa, beb?" Mungkin dia lupa cara bercakap.

"Tak ada apa-apa," balas dia sambil gelak. "Aku cuma teringat sesuatu,"

Dia kata dia, sambil menyuap mi, dengan mulut yang penuh, ayah dia selalu membeli kaset-kaset syarahan agama. Banyak koleksi kaset syarahan bersepah di rumah. Dari ustaz-ustaz yang terkenal hinggalah kiyai-kiyai dari tanah seberang yang tidak dikenali. Kalau bosan, dia akan ambil dan pasang satu pada walkman, dan baring, mendengar kaset syarahan tersebut.

Antara kisah yang menarik, sepanjang ingatannya, ialah bila seorang ustaz bertemu dengan atheis. Si atheis berkata, semua agama adalah baik, semua agama adalah bagus, tetapi dia tak dapat memilih agama mana yang betul-betul membawanya ke jalan yang benar, lantas dia memilih untuk tidak beragama. Tapi dia percaya akan tuhan.

Cuma dia tidak memilih jalan.

Aku kata, itu bukan atheis, itu pluralis.

"Yeke?" tanya dia. "Entah, aku main sebut je," jawab aku.

Dia sambung lagi, ustaz itu kata mamat tu macam orang yang cari sepasang seluar yang sempurna. Ibaratnya dia menjumpai semua seluar itu bagus dan sempurna, lantas, kerana tak mampu memilih mana satu, dia memilih untuk tidak berseluar.

Bunyi macam logik bagi aku.

Dia meneruskan suapan terakhir dan berkata, mereka; si ustaz dan mamat athies tadi sambung berborak lagi. Si ateis kuote lagi, perjalanan hidup manusia sebenarnya adalah dari tangan ke mulut.

Kalau macam tu, balas si ustaz, erti kehidupan tidak lebih daripada isi perut, maka, nilai kehidupan si atheis, tidak lebih dari apa yang keluar dari isi perut.

"Itu yang aku terfikir masa menyuap mi tadi," kata dia lagi. Sambil merenung pinggan yang kosong. Aku pun merenung sama.

Jam sudah pukul sepuluh setengah. Teh tarik dalam cawan aku baru luak suku. Dia baru separuh.

0 Comments:

Post a Comment