Dec 16, 2010

Kota ini sangat fragile.

Tapi sana sini penuh dengan destruction. Ibarat tempat ini untuk kebebasan mutlak. Anak-anak bawah umur berkeliaran selepas jam sebelas malam. Orang-orang tua yang baru bangun tidur untuk memulakan hari semalam yang repetative. Jiwa-jiwa berontak dikurung dengan kemas dan dihias elok-elok di tapak pameran.

Dan dipakaikan tali leher.

Kota ini sangat fragile. Cuma untuk kita lihat sahsiah moral dan akhlak yang cemerlang. Walau hanya dalam kertas.

*

Kalau dia tahu, bahawa selama ini, selama beberapa tahun yang pendek ini, adalah untuk menghiburkan kota yang fragile ini, mungkin dia akan hentikannya sekelip mata.

Atau mungkin dia akan lebih komited, untuk menghiburkan jiwa-jiwa yang kosong ini. Sambil berkata, "Lihatlah aku. Pandanglah aku. Worship-lah aku."

Dec 12, 2010

"Sejuk," kata mereka bila tiba-tiba cuaca berubah drastik.

Aku melihat ke luar tingkap kaca yang besar. Tiada yang berbeza; bangunan-bangunan tinggi dalam wajah yang kelam. Sekelam wajah mereka yang disekeliling aku.

Atau mungkin cuma aku seorang.

"Mungkin salji akan turun," fikir aku, walaupun bumi khatulistiwa ini tak layak menerimanya.

Nov 24, 2010

Oct 30, 2010

Gerai burger yang tak berlampu di tepi jalan yang gelap. Tapi dipenuhi pelanggan. Sangat ironi.

Tapi itu bukan masalah sebenarnya.

Masalah tidak tiba sehingga gerai burger tak berlampu itu dikunjungi Manusia berlagak.

Manusia berlagak, manusia tak mengenal erti syukur, manusia ego, manusia apa entah aku patut namakan, tapi dalam bahasa mudah; masalah.

"Kenapa kedai ni tak berlampu?"

Sunyi sepi.

"Boleh ke berniaga gelap-gelap ni?"Justify Full
Lebih sunyi dan lebih sepi.

Ianya baru pukul 1 pagi. Hanya ada dua orang di situ. Seorang tukang masak dan seorang pembungkus. Oh, lagi satu, seorang masalah.

Tiada seorang pun yang mahu membuka mulut. Mungkin mereka pun tiada jawapan.

Oct 18, 2010

"Cepatlah, lambat sangat awak jalan."

Aku dibelakangnya cuma tersenyum, jarak antara kami hanya lima meter. Jarak hingga ke pergaduhan seterusnya? Dekat.

Mungkin tak sampai beberapa saat.

Apa yang aku pelajari, yin mesti ada yang. Bila sebelah pihak mahu hitam, aku segera seimbangkan kembali dengan putih. Aku percaya, sekiranya kita mengambil jalan mudah untuk mengatasi konflik, kedua-dua pihak menang.

Tapi mungkin tidak untuk kali ini.

"Awak jalan cepat sangat, relax la."

"Awak yang jalan lambat. Sampai saya dah kena kacau tadi!"

"Ya? Itu menunjukkan awak masih punya daya tarikan," Gelak kecil terhambur. Tak sengaja.

"Maksudnya, awak suka la kalau ada orang lain kacau saya? Awak tak kisah saya lari dengan orang lain?!"

Layang-layang. Aku rasa macam layang-layang.

Tamatkan apa yang kau mulakan. Lagipun, kan aku bukan pengejar kesempurnaan.

Aug 3, 2010

"That was so great!" kata dia
sambil mencuri nafas.
"I nak kena let it go..." Tapi sebenarnya aku nak kata -
I need to let it out.
Sebelum menjadi barah.

Tapi nampaknya,
untuk mengelakkan barah,
ianya telah menjadi sesuatu
yang lain.

Dia giggles,
"Kalau macam tu, I harap wife you akan marah
setiap hari,"
sambil memeluk lengan aku.

Aku capai
tar
nikotin
dan tembakau
dalam kotak biru
dan

nyalakannya.

May 27, 2010

"I janji, esok adalah hari kejutan bagi you,"

"Kenapa?" Laju dia balas, dan lagi laju aku balas, "Sebab I ada suprise untuk you!"

"Bagitahu je la, I tak suka suprise-suprise ni." Paksa dia.

"You kena tunggu esok.." jawab aku sambil gelak kecil.

Entah, mungkin aku saja main gila dengan dia. Ataupun memang aku dah gilakan dia. Terlalu gilakan dia.

Hari itu, aku banyak ketawa dan bercakap berbanding selalu dengan dia. Mungkin hari ini begitu bermakna. Atau mungkin tidak. Setidak-tidak, hari ini sudah nyata, berbanding esok yang masih misteri.

"Mak dah tanya Pak Long kau, nasib baik, dia sempat nak prepare semua. Kau ni, lain kali bagitau la awal-awal. Suprise kepala hotak kau." Nasihat ikhlas dari mak aku semasa aku memandu pulang dari menghantar Si Perempuan ke rumah.

"Yeke? Semua dah ok ke mak? Pak Long dah ok? Kalau macam tu takpelah, ok la, ada polis kat depan tu, bye!" Cepat-cepat aku matikan talian telefon. Ok, selesai satu perkara.

Dengan keadaan sekarang, aku pun tak pasti sama ada selesai satu masalah atau aku baru saja selesai menambah lagi satu masalah.

Aku terasa seperti seorang saintis pencipta kereta solar yang mesra alam untuk pasaran awam, walaupun hakikatnya perkara yang penting sekarang ialah menghentikan kerosakan alam. Mungkin aku tak mahu mengubah apa yang telah terbiasa. Walaupun konklusinya lagi luar tabi'i.

Walau apa-apa pun, kena tunggu esok juga.

Apr 7, 2010

Unfortunately, everyone change through time.

Ada orang mempertikaikan hasil zaman baru ini tidak sekritis dan berhala tuju seperti sebelum ini. Macam puisi, macam novel, macam lagu, malahan hingga cerpen pun.

"Mungkin mereka ada peperangan pada waktu itu,"
"Mungkin kestabilan politik waktu itu berbeza,"
"Mungkin kesedaran waktu dulu lebih senang dicapai,"

Aku fikir, sebab ini adalah modenisasi. Zaman mudah, dan pada aku, peperangan paling hebat pada zaman ini adalah dengan diri sendiri. Syok sendiri? Mungkin, Tapi, memang ini perkara paling kritis waktu ini.

Apr 4, 2010

Aku rasa dia sedang memandang aku
yang diatas katil
yang penuh dengan
buku, majalah, risalah, artikel
tentang
ekonomi/politik/agama/sosial/sejarah

"Berat sangat la bahan bacaan kau ni," kata dia tiba-tiba
walaupun aku tak memperdulikan dia tadi

Aku abaikan bahagian komen;
dan dia menyambung,
"Cuba la bagi novel-novel cinta ke, --baru rasa terawang-awang sikit,"

Hmm..
Terawang-awang, eh?

Mar 24, 2010

Aku rasa seperti Perempuan Plastik dalam Pekan Tenteram. Mungkin aku rasa apa yang dia patut rasa, mengambil semua rasa dia dan dia meneruskan hidupnya tanpa rasa itu. "Not worth it" katanya. Kalau dia tahu dia akan rasa apa yang dia akan rasa macam aku rasa sekarang.

Mar 11, 2010

Hari Isnin memang sibuk. Aku paling menyampah bila tiba hari pertama dalam minggu. Mungkin jika waktu pejabat bermula dari hari Ahad, mungkin aku juga akan benci hari Ahad. Pukul sepuluh pagi dan matahari yang paling memeritkan kulit. Aku terus ke kafe.

Seperti biasa, dia sudah berada di kafe dengan secawan teh tarik. Biasanya dia akan ambil sepiring kuih. Tapi hari ini, dia bertemankan sepinggan mi goreng.

Aku tarik kerusi meja sebelah dan duduk depan dia. Pukul sepuluh setengah ada kelas sama. Dia cuma diam menyuap mi dan merenung mi. Agak luar biasa bagi dia yang petah bercakap.

"Kenapa, beb?" Mungkin dia lupa cara bercakap.

"Tak ada apa-apa," balas dia sambil gelak. "Aku cuma teringat sesuatu,"

Dia kata dia, sambil menyuap mi, dengan mulut yang penuh, ayah dia selalu membeli kaset-kaset syarahan agama. Banyak koleksi kaset syarahan bersepah di rumah. Dari ustaz-ustaz yang terkenal hinggalah kiyai-kiyai dari tanah seberang yang tidak dikenali. Kalau bosan, dia akan ambil dan pasang satu pada walkman, dan baring, mendengar kaset syarahan tersebut.

Antara kisah yang menarik, sepanjang ingatannya, ialah bila seorang ustaz bertemu dengan atheis. Si atheis berkata, semua agama adalah baik, semua agama adalah bagus, tetapi dia tak dapat memilih agama mana yang betul-betul membawanya ke jalan yang benar, lantas dia memilih untuk tidak beragama. Tapi dia percaya akan tuhan.

Cuma dia tidak memilih jalan.

Aku kata, itu bukan atheis, itu pluralis.

"Yeke?" tanya dia. "Entah, aku main sebut je," jawab aku.

Dia sambung lagi, ustaz itu kata mamat tu macam orang yang cari sepasang seluar yang sempurna. Ibaratnya dia menjumpai semua seluar itu bagus dan sempurna, lantas, kerana tak mampu memilih mana satu, dia memilih untuk tidak berseluar.

Bunyi macam logik bagi aku.

Dia meneruskan suapan terakhir dan berkata, mereka; si ustaz dan mamat athies tadi sambung berborak lagi. Si ateis kuote lagi, perjalanan hidup manusia sebenarnya adalah dari tangan ke mulut.

Kalau macam tu, balas si ustaz, erti kehidupan tidak lebih daripada isi perut, maka, nilai kehidupan si atheis, tidak lebih dari apa yang keluar dari isi perut.

"Itu yang aku terfikir masa menyuap mi tadi," kata dia lagi. Sambil merenung pinggan yang kosong. Aku pun merenung sama.

Jam sudah pukul sepuluh setengah. Teh tarik dalam cawan aku baru luak suku. Dia baru separuh.

Mar 2, 2010

Aku baring lagi dengan harapan aku akan tidur lagi 30 saat. Si bodo mana entah bagitahu aku, bila nak tidur, kena kosongkan fikiran. Jangan fikirkan apa-apa. Biarkan minda kosong.

Ok, aku cuba.

Kosong --

Kosong --

Aku rasa si bodo ni mamat satu kolej dengan aku kot.

Kosong --

Yang suka pakai jersi MU tu kot. Warna merah terang benderang, macamlah kulit cerah sangat.

Kosong --

Aku ingat dia tak boleh tidur kalau ada orang pasang lagu. Sebab dia selamba je tutup radio bila dah sepuluh minit masih tak boleh tidur lagi. Lagu Roxette tengah main masa tu. Apa tajuk lagu tu? Lama gila tak dengar lagu tu. Band tu pun dah takde cerita langsung. Masa tu memang pelik sikit trendnya. Band cuma consist of dua orang je. Itu pun seorang nyanyi, seorang main gitar. Baik penyanyi tu jadi artis solo je. Senang cerita. Mungkin sebab tak seronok agaknya kalau takde member atas pentas. Tapi mesti la ada pemuzik lain. Siapa nak main dram. Siapa nak main keyboard. Kalau miming tak apalah. Tapi jadi pelik pula, sebab kamera tentu-tentu akan fokus kat spotlight utama - si penyanyi. Adalah beberapa saat bonus untuk pemain gitar tu kalau dia tak pergi dekat-dekat dengan penyanyi tu. Entah apa jadi dengan pemain gitar tu sekarang— Ok.

Ok. Petua tak boleh pakai. Aku bangun balik.

Pergi meja. Tarik kerusi. Buka komputer. Buka speaker. Bakar rokok. Capai asbak.

Daftar masuk. Fesbuk. Lagi.

Insomnia. Adalah yang paling celaka.

Berkalih dari kanan ke kiri. Telentang ke terlungkup. Separa sedar dan sedar penuh. Ini perlu dihentikan. Kau tahu bila minda paling terseksa? Bila badan penat, terlampau lesu, tapi mata belum mahu berehat.

Dan yang paling teruk bila nikotin mula terasa begitu kelat. Atau mungkin hilang rasa.

“Mungkin lepas sebatang, aku boleh tidur.”

Tapi baru separuh batang rokok terbakar, nikotin dan tar sudah terlampau berat untuk otak menerima. Dan badan masih penat, mata masih cergas.

Tetapi, kali ini yang paling teruk. Sebatang demi sebatang terbakar menjadi asap putih jerebu, dan masih tiada apa yang berlaku.

Aku buka Fesbuk.

Daftar masuk. Penuh dengan suara-suara fikiran orang lain.

“Sangat happyyy!!”
“Mungkin dia tak tahu…”
“Makan apa sedap malam2 ni?”
“Baru lepas tengok Adnan Sempit. Besh sangat!!”
“Waiting for that someone to come..”
“If only…”
“Kiamat sudah dekat. Tanda-tandanya sudah terlampau banyak. Ampunkan dosaku Tuhan”
“Tengah main FB tetiba rasa lapar…”
“Bangun tidur dan terus ke bilik air, gosok gigi, pas2 makan nasi sejuk semalam. Sedih..”

Menambahkan lagi sakit kepala.

Suggestions column - Its been a while since u make contact with Si Perempuan. Write something on her wall.

Kalau boleh aku nak write something kat muka dia terus:

AKU INSOMNIA SEBAB KAU.

*

Aku baring lagi dengan harapan aku akan tidur lagi 30 saat. Si bodo mana entah bagitahu aku, bila nak tidur, kena kosongkan fikiran. Jangan fikirkan apa-apa. Biarkan minda kosong.

Feb 27, 2010

Apa berlaku bila tiba dipenghujung jalan?

Pencarian berakhir; bersamaan dengan penat, dan lesu. Dan rasa puas hati. Tapi, memang penat. Puas hati cuma ada dalam hati. Badan penat. Badan lesu.

Mungkin kau baru tahu ianya tak worth langsung.

*

Macam mana sebenarnya kau nak cari orang yang tak lebih macam hantu?

Macam hantu – cuma ada muka, itu pun hanya dalam kepala kau sendiri, nama – itupun belum tentu nama sebenar, dan kawan-kawan yang tak pernah peduli antara kedua; kau dan hantu itu.

Tapi bila, kemustahilan kadang-kadang macam air tin di kedai 24 jam, KAPOW! Ianya muncul depan kau.

Lepas tu, kau tak tahu nak buat apa. Ok, nama ada, nombor telefon ada, alamat ada, malah, gambar pun ada. Tapi, nothing.

Bukan nak buat apa pun, cuma nak satisfy kan diri kau sebab kau rasa rumit sangat nak cari orang ni. Macam jarum dalam jerami.

Untuk dua campur dua tahun, dia jadi macam hantu, tapi sekarang dia ada nama.

Mereka kata tv penuh dengan propaganda berat sebelah
Aku peduli apa
Asalkan aku masih boleh tengok;
Fasha,
Nora,
Sharifah,
Atau si cantik yang bertudung membawa watak ustazah
Tapi berskirt paras lutut dalam majalah.
Sambil minum petang
Dengan boxer
Dan puntung yang habis bara

Iklan tv kata saat kau lahir ke dunia adalah
Saat terakhir kau bebas

Sebelum kau dicampakkan ke dalam
Dalam dinding besi
Dalam kubikel

Oh, aku juga ada kubikel sendiri sekarang
Dengan segala berbentuk empat segi yang
Membosankan

Tapi lebih baik kebosanan
Berbanding dengan ketakutan.

Feb 25, 2010

Susu kotak putih biru
Aku tuang isinya dalam cawan
"Kenapa selalu beli susu yang ni?"
Dia capai gelas dan minum susu itu
"Hmm..tawar sangat..tak sedap."

Aku jawab,
"Sebab lagi murah,"
"Murah? Yang ni RM6.10, yang kotak merah yang sedap tu baru RM5.60."

Lainkali aku cuma beli susu kotak merah yang dia cakap tu
Tiap-tiap kali aku beli yang merah
Dua hari sekali aku kena beli
Kadang-kadang satu hari dah habis
Sebab lebih sedap

...dan murah?

Feb 24, 2010

Aku akan bawa buku nota kecil ke mana-mana saja aku pergi. Untuk merakam perasaan yang datang waktu itu. Lagipun, harapan semakin lama semakin kecil.

Secara hedonisnya.

Feb 12, 2010

Ini memang minggu yang panas; tapi selesa
Sebab cuaca panas tapi selesa ini nikmat
"Kau tak pandai buka kipas ke?"
Kata dia sambil mengeluh
Aku cuma jawab, "Baru Jamaica!"
Dia maki aku dah mula berkipas.
Sejuk buat kau malas,
Panas, hangat buat kau aktif,
Atau sekurang-kurangnya bergerak bangun hidupkan suis kipas

Mungkin dia tak pernah rasa
Tidur dalam bilik tak bertingkap
Pada waktu tengahari buta
Dengan lampu kalimantang yang terbuka

Atau mungkin dia dah bosan dengan panas
Sebab dia datang dari kawasan laut
Dah jemu berjemur

Aku?
Masih lagi suka panas
Tapi nikmat.

Jan 28, 2010

BUZZ!!

caterpillar_2: u watpe dh 2?
liz_dazzling: o..tgk utube..
liz_dazzling: ni k.jun ajak mkn kat kdai xsdp tu
caterpillar_2: yeke? u nk gi ke?
liz_dazzling: o..g jela..
liz_dazzling: i leh mkn ice blended,hehe
caterpillar_2: hehe..ade iceblended ke?
liz_dazzling: haah..best gak..
caterpillar_2: ye?ade rasa ape je?
liz_dazzling: ape2 ppn leh..
liz_dazzling: ari tu k.jun mkn epal..
liz_dazzling: arini i nk mkn milo la..hehe
liz_dazzling: bandung pn ad..

.
.
.
.

owh, rasa happy ada x?


Dia beritahu aku yang dia datang dari Pekan Tenteram. Pekan Tenteram?

"Ya, Pekan Tenteram dan kehidupannya tenteram, sekurang-kurangnya.."

"Jadi, apa yang mereka buat di Pekan Tenteram?" Aku pun pernah tanya dia, apa agaknya yang ada disana. Dia cuma cakap, kehidupan yang tenteram, tapi yang lain-lain bergantung pada masing-masing.

Aku jumpa dia pada waktu hampir tiga bulan dia tinggalkan Pekan Tenteram. Dia macam yang semua orang kenal, samada dalam bentuk gambar, bahan bacaan atau rekod, dia seperti yang kau tahu. Bukan imej artifisial seperti mereka yang lain.

Dia kata, dia terpaksa tinggalkan Pekan Tenteram, tiga bulan lepas, sebab apa yang dia impikan sebenarnya dah berakhir. Atau apa yang dia dan perempuan itu impikan tamat bila Izrail datang mengetuk pintu rumah mereka. Hilang semua macam asap rokok. Hanya tinggal bau saja. Dan batuk malam.

Bila dia melangkah ke luar Pekan Tenteram, dia jadi seseorang yang lain. Bukan dia mahu. Cuma apa saja yang dia sentuh di luar pekan tenteram, menjadi magis.

Mungkin dia boleh lupakan yang dia cuma mampu membuat empat minit bunyi bising berbanding sekarang ianya menjadi melodi. Atau baris-baris ayat tulisannya di Pekan Tenteram cuma tatapannya seorang, dan sekarang ianya diulang cetak berpuluh-puluh kali.

Sebab itu dia sentiasa sibuk. Aku fikir, apa yang perlu disibukkan, dia boleh buat itu semua perlahan-lahan dan dapat sama seperti sekarang. Dia cuma kata, "Live fast, die young,". Dia memang mengarut. Sebab percaya yang dia takkan hidup lama, dia bayangkan dia macam Kurt, Edie, Morrison, Jimi, Janis, Dean atau Monroe.

Aku cakap, Bukowski hidup sampai 70 lebih dan terus minum hingga akhir hayat. "Kau pun boleh buat macam tu,"

"Dia dah tua masa orang discover dia, tapi aku sekarang dalam mid 20's." kata dia. "Aku kena cepat, tahun-tahun melepasi 30's adalah bonus,"

"Bonus?"

"Ya, bonus dari Tuhan,"

Jan 26, 2010

Perempuan itu datang pada aku.

Sebagai kawan, aku dengar setiap perkataannya.

"Oh gosh! Semua bulu mata aku gugur! Aku macam

seekor ikan!"

Kata aku, "Babe, rileks, mungkin aku rindu kau

terlampau

banyak sangat,"

"Oh, mungkin itu taklah teruk sangat," katanya.

Jan 13, 2010

Mereka kata aku bercakap dengan berlapis-lapis. Berulang-ulang dan tidak terus tepat ke sasaran. Aku ulang dua tiga kali cerita yang sama baru aku ceritakan. Atau lambat sampai ke puncak.

Sebab tu aku tak banyak cakap, sebenarnya.

Jan 4, 2010

Tahun baru hanya sehari, selebihnya ia berulang menjadi hari-hari biasa. Dan kami lihat tiada apa keistimewaannya pada hari matahari melengkapkan kitarannya. Lebih-lebih lagi bila ia disambut sewaktu matahari belum bangun tidur lagi.

Tapi kami berbuat sesuatu juga pada malam itu. Sebelum jarum panjang dan pendek dan jarum saat bersatu di angka dua belas. Kami panjat ke tempat paling tinggi dalam kota itu. Sebenarnya kami memandu ke puncak bukit paling tinggi dalam kota ini.

Dari puncak, hajat kami, untuk melihat seluruh warga kota. Setiap muka mereka. Mendengar setiap patah perkataan mereka. Dan membayangkan apa yang disentuh mereka. Tapi, melihat mereka saja mungkin sudah cukup. Pada malam seluruh warga kota keluar dari rumah dan membakar langit dengan api. Meraikan apa saja yang mereka percaya.

Aku suka waktu malam. Pernah dulu, waktu mengganggur, untuk cari kerja sebelah malam, di mana siang akan aku habiskan waktu di rumah. Malam lebih tenang berbanding siang.

Kau boleh dengar bunyi dan nafas semua benda bukan hidup. Bunyi kipas laptop. Bunyi angin. Bunyi langsir. Bunyi air menitik di sinki. Bunyi katil berkeriut bila orang bergalih tidur. Dan bunyi nafas mereka tidur.

Bila mereka tidur, terasa akan dunia aman. Lupa akan apa yang mereka mahukan. Lupa akan mereka gaduhkan. Semua kecacatan akan terlindung dengan selimut hitam malam. Jalan raya yang selalu menjadi nadi tekanan, nampak macam pelacur tua tanpa kunjungan pelanggan. Kosong. Lengang.

Tiada bunyi mengganggu. Tiada kemarahan. Kadangkala aku harap dunia selalu malam, kerana manusia lebih tenang jiwanya pada waktu malam. Pada waktu tidur. Bila mereka tidur, mereka lupa akan apa yang digaduhkan. Apa yang dimahukan.

Mungkin dunia lebih aman bila waktu malam.