Showing posts with label isi-isi. Show all posts
Showing posts with label isi-isi. Show all posts

Nov 2, 2011

Lapar itu nikmat.

Bila perut mula bergelodak, peluh mula merembes sejuk dan terasa angin mencuri keluar dari kerongkong, ianya perasaan yang indah. Aku memerhatikan jam. Masih ada sepuluh minit antara aku dan kertas-kertas kerja ini.

Aku manusia yang ringkas. Dengan cita-cita yang ringkas. Kerana aku menetapkan cita-cita aku dalam period waktu yang singkat. Seperti contoh sekarang, cita-cita aku adalah semudah ke kedai makan yang terdekat, makan, bayar kemudian pulang.

Ianya petang yang cerah. Aku harap ianya petang yang tenteram.

Kadang kala aku terasa seperti pathetic. Duduk sendirian di meja menunggu pesanan tiba, aku memang binatang kera. Kera sumbang.

Selang sepuluh minit, satu susuk mula menghampiri meja aku. Kawan sepejabat. Kawan yang jarang bertegur. Dia nampak aku dari jauh. Dan aku nampak dia dari jauh. Dia datang dekat dan duduk semeja dengan aku.

“Sorang?”

“Ha’ah”

Dan datang pelayan ambil pesanan.

“Tak balik lagi?”

“Belum, makan dulu baru balik.”

Ya, dia pun notis yang ini perbualan di tahap IQ sifar. Sudah tentu aku sendirian. Dan sudah tentu dia datang ke kedai makan untuk makan. Tapi inilah bentuk perbualan yang paling ringkas boleh dipraktikkan. Meja-meja sebelah banyak kosong. Pelanggan tidak ramai. Dan kalau dia datang dan duduk di meja lain, ia akan jadi awkward bagi dia. Dia kena duduk di meja aku sebab aku sendirian dan meja lain kosong. Aku kena pelawa dia duduk disitu sebab aku nampak dia sendirian. Lainlah kalau dia tak perasan aku dari awal.

Mungkin ini yang dinamakan berbudi bahasa. Walaupun penuh awkward.

Makan adalah satu alasan untuk mendiamkan diri kerana mulut sibuk mengunyah. Tapi apabila selesai makan, kami berpindah ke satu lagi fasa yang perlu ditempuh dalam etika berbudi bahasa ini.

Aku mahu segera pulang, tapi nampak agak kurang sopan. Untuk kelihatan sopan, kami perlu berbual ringkas sebelum pulang. Lebih-lebih lagi dia mula menyalakan rokok. Aku anggarkan, mungkin selepas tiga batang rokok, baru kami akan bersurai.

“Rokok?” pelawa dia. Walaupun sangat jelas aku tak pernah kelihatan di ruang merokok di pejabat.

Aku tak merokok. Aku tak minum. Aku tak suka muzik kelab. Dan aku tak banyak bercakap. Mereka maki aku sebagai anti sosial. Kerana aku hanya termenung bila berada di pub.
Dan itu yang aku lakukan sekarang. Termenung tak tahu nak buat apa. Dia sibuk menghembus asap-asap putih. Sekurang-kurangnya dia ada sesuatu yang hendak dilakukan. Inilah kemuncak awkward.

Ia dipenuhi kesenyapan yang tak menyelesakan. Kalau ini adalah Pulp Fiction, dan dia di depan aku adalah berlainan jantina, mungkin ia akan jadi kesenyapan yang selesa. Selesa berkongsi kesenyapan berbanding merepek perkara yang bukan-bukan untuk mengaitkan perasaan masing-masing.

Tapi ini bukan, jadi aku terus termenung mencari bahan perbualan. Dia masih merokok, menoleh ke sana sini. Mungkin juga mencari topik perbualan.

Petang makin gelap. Tiba masa untuk bersurai.

Cuma aku tak pasti samada aku patut mulakan meminta diri atau membiarkan dia mulakan. Tapi aku pasti ini waktu yang paling tidak sesuai menerima kehadiran tetamu di meja kami. Lebih-lebih lagi tetamu yang sedang mabuk.

Mabuk pada pukul tujuh malam, adalah samada kau memang ada masalah besar atau kau memang sampah masyarakat. Nampaknya tetamu ini adalah kedua-duanya.

Nampaknya, kami perlu menunggu lagi; seperti penunggang motor menunggu hujan berhenti dibawah jambatan.

Mar 22, 2011

Bunyi telefon.

"Kau kat mana?"

"Aku kat airport."

"Pehhh..apa kau buat kat sana?"

"Tunggu flight. Nak pergi jepun. tolong mangsa tsunami. Hahaha."

Oct 30, 2010

Gerai burger yang tak berlampu di tepi jalan yang gelap. Tapi dipenuhi pelanggan. Sangat ironi.

Tapi itu bukan masalah sebenarnya.

Masalah tidak tiba sehingga gerai burger tak berlampu itu dikunjungi Manusia berlagak.

Manusia berlagak, manusia tak mengenal erti syukur, manusia ego, manusia apa entah aku patut namakan, tapi dalam bahasa mudah; masalah.

"Kenapa kedai ni tak berlampu?"

Sunyi sepi.

"Boleh ke berniaga gelap-gelap ni?"Justify Full
Lebih sunyi dan lebih sepi.

Ianya baru pukul 1 pagi. Hanya ada dua orang di situ. Seorang tukang masak dan seorang pembungkus. Oh, lagi satu, seorang masalah.

Tiada seorang pun yang mahu membuka mulut. Mungkin mereka pun tiada jawapan.

Jun 23, 2009

Ikbal menumbuk stereng kereta. Kereta didepannya langsung tak bergerak. Dia menekan-nekan hon. Kereta-kereta didepannya masih lagi tidak bergerak. Bunyi hon bersahutan seperti jeritan banduan di dalam penjara akhir.

Ikbal buntu.


Buntu dan terperangkap.


Dia berhenti menekan-nekan hon macam orang gila.


“Lantaklah..biar mereka tekan hon sampai lenguh,”


Tombol penghawa dingin dipusing habis. Biar hati sejuk. Biar sampai beku.


“Kerja --“ fikir Ikbal, “adalah seperti nasi lemak tak sedap,”


Pekerjaan kita adalah seperti nasi lemak tak sedap di warung pojok depan rumah kamu. Atau mungkin depan taman perumahan kamu.


Dengan minimum dua ringgit kamu akan dapat nasi lemak dan telur dan sambal. Untuk lauk lain kamu perlu tambah duit lagi.

Nasi lemak yang kurang rasa lemaknya dan sejuk, dengan hidangan standard; kacang yang lemau, timun yang dipotong tanpa ada seni figuratif tertentu, telur rebus dipotong satu perempat dari gred C yang sememangnya kecil (lupakan telur goreng kerana dalam hidangan standard mestilah telur rebus), juga ikan bilis yang hancur yang tidak dibuang isi dan kepalanya. Sambal yang cair dan tidak pedas dengan tiada langsung isi samada sotong, malahan ikan bilis pun.


Dan tidak ketinggalan lauk-lauk tambahan yang kelihatan beku dan terbiar. Ayam-ayam goreng/sambal/kari yang sejuk sudah disiap masak sejak awal pagi. Sambal sotong/kerang/udang yang nampak seperti racun diarrhea. Dan kari yang mula membeku dan berlinang minyaknya.


Juga, sebagaii bonus, tukang ceduk nasi (walhal bukan bos pun) yang tidak pernah senyum atau bercakap apabila kamu datang, malahan melihat kau seperti seekor kucing liar yang datang untuk selongkar tong sampah. Dan juga tauke kedai yang memulangkan duit baki kamu tanpa ucap terima kasih.


Tapi esok kau datang lagi ke kedai nasi lemak tak sedap di warung pojok tepi jalan. Dan rutin berterusan.

.

.

.

.

.


Kereta-kereta di jalan raya masih lagi merangkak-rangkak perlahan, dan perut Ikbal mula berkeroncong.


Pukul empat pagi dan semua isi rumah sudah mula terjaga. Ayah dan ibu yang paling awal terjaga. Waktu Amri bangun, mereka sudah sibuk dengan tugas masing-masing. Pagi masih gelap macam malam, dan Amri mula melangkah segera ke belakang. Ayah masih di sebelah pelita sedang mengasah pisau toreh. Manakala, ibu sedang meniup api dapur kayu semasa Amri berlalu di sebelah. Amri sangkut tuala di bahu dan menceduk air kolam. Kelak, pukul lima pagi dia perlu ke sekolah.

Pukul 5.30 pagi, rumah itu mula sepi.


*


Pukul 5.30 pagi, rumah itu masih sepi.


Amri masih terus berdengkur. Tapi tidurnya tidak pernah lena, kadang-kadang terjaga, tapi dikejam mata rapat-rapat. Hampir ke pukul enam pagi baru rumah itu diterangi cahaya kalimantang. Amri mencapai tuala dan menyangkut di bahu dan duduk di kerusi meja makan. Di sebelah kanan ada Ramli, lapan tahun, sedang tersengguk-sengguk, Di belakang sana, Hafiza sedang menyelongkar selonggok kain baju, mencari sesuatu.


Anita keluar dari bilik mandi. Amri membiarkan saja isterinya berlalu, dan melangkah masuk ke dalam bilik mandi.


*


Selesai mandi, Amri terus mengenakan pakaian sekolah. Seluar pendek warna biru tua dan baju putih yang kekuning-kuningan. Diambilnya bekal berbungkus daun pisang dan beg sandang berwarna hijau dan mula melangkah keluar rumah. Hari masih gelap, dan masih tiada bayang Abdul. Waktu begini dia dan Abdul akan berjalan kaki ke sekolah bersama-sama. Sama-sama meredah pagi yang mula mencerah sambil diselubungi hutan belukar dan ladang-ladang getah. Sambil ditemani bunyi burung hantu, sambil bertembung dengan musang, juga dengan takut-takut terlihat bekas tapak kaki babi hutan. Tapi alah bisa tegal biasa, semua itu sudah tidak memberi bekas lagi. Malahan perjalanan sepanjang lapan kilometer ke sekolah juga dirasa pendek.


Lagipun bukan mereka berdua saja, masih ada lagi beberapa orang murid sekolah yang lain turut melalui jalan yang sama. Merekalah generasi selepas darurat yang bakal mendominasi masa depan. Banyak lagi yang diperlukan semasa zaman pembangunan ini, untuk merangkak sebelum berlari.


Amri masih menunggu dalam cerah cahaya bintang. Abdul belum juga muncul. Dia masih terus menanti.


*


Amri masih lagi menanti Anita keluar dari bilik. Hidup di zaman ini memang tak semudah yang dibayangkan. Dia dan isteri sama-sama bekerja untuk menampung isi rumah. Gaji dia seorang belum cukup membuatkan hidup mereka lima beranak selesa. Tapi, tak mengapalah, hidup perlu diteruskan.


Bunyi hon dari van kuning yang berhenti di halaman rumah membuatkan Amri tersentak. Dia bingkas bangun dan menuju ke pintu. Anak-anaknya segera mendapatkan Amri dan mencium tangannya sebelum lekas-lekas masuk ke dalam van kuning itu.


“Nah, ni bagi kat Pak Hamid,” sambil menghulurkan sampul surat berwarna coklat kepada Hafiza sebelum Hafiza masuk ke dalam van sekolah. Hafiza menyerahkan sampul surat itu kepada Pak Hamid. Pemandu van itu tersenyum dan memandang Amri. Dia mengangkat tangan menunjukkan sampul surat itu sebelum memandu meninggalkan laman rumah.


Pagi makin cerah, dan suasana semakin hingar. Kereta-kereta mula memenuhi jalan. Burung-burung pun sibuk berkicau, kecuali bunyi kicauan mereka tenggelam. Hanya bunyi hon yang silih berganti, dan Amri masih lagi berdiri di laman rumahnya.


Saat-saat ini dia teringat akan hutan dan belukar yang menjadi dilalui dalam perjalanan ke sekolah sewaktu kecil dahulu. Dia terbayangkan sekolahnya yang jauh lapan kilometer; berbanding dengan sekolah Hafiza dan Ramli yang cuma lebih sedikit satu kilometer. Dia teringat akan musang, burung hantu atau kelawar yang muncul mengejut. Atau kelibat babi hutan di sebalik belukar.


Mungkin Hafiza atau Ramli tak akan jumpa hutan belukar di sepanjang perjalanan mereka, tetapi Hafiza dan Ramli hidup di dalam hutan konkrit yang dipenuhi bintang yang lebih buas dari musang, kelawar atau babi hutan. Salah siapa? Amri tiada jawapan.


Dan Amri masih lagi menunggu di luar.


Konklusi untuk hari ini; bekerja dari awal pagi hingga malam belum tentu akan membawa sesuatu yang baik. Secara fizikal atau spiritual. Lebih-lebih lagi emosi. Itu yang Alias pelajari untuk hari ini. Selain dari jiwa yang separuh zombie, selebihnya adalah badan yang auto mode; macam dalam The Click.

Campur dengan jalan yang sesak, ianya memang hari yang ‘menarik’ bagi Alias.


Lima minit kemudian. telefon berbunyi. Suara si perempuan di hujung talian. Si perempuan yang dalam mode manja-manja dan Si Alias yang lesu pasti bukan satu hibrid yang cantik.


Si perempuan mula bercerita tentang kawan-kawan dari komuniti dalam talian.


Si perempuan cerita akan kawan-kawan dalam internet meletakkan gambar-gambar romantik masing-masing dengan lelaki-lelaki mereka. Malah, ada lelaki-lelaki mereka yang meletakkan gambar bersama yang dianggap romantik sebagai tanda cinta yang agung. Siap diletakkan efek-efek menambahkan lagi kehangatan percintaan mereka.


Dan, si perempuan masih lagi bercerita tentang kawan-kawannya, lelaki-lelaki mereka juga memuatnaik video suntingan sendiri, sebagai tanda mengabadikan kenangan indah bersama lelaki dan perempuan.


“Mestilah, sebab lelaki-lelaki bodoh tu dipaksa oleh kawan-kawan bodoh kau dengan rajukan mereka,” kata Alias, jauh dalam hati.


Lagi katanya, si perempuan itu, dia baru saja baca buletin Frenster Si Polan yang sungguh romantik. Buletin dan romantik? Si Polan mengepos, “Siti Polanah, aku cinta padamu, dan mari kita satukan cinta ini hingga akhir hayat, sudikah?!!”


Dan si Polanah menjawab, “Oh, sungguh terharu. Aku cinta padamu selamanya. Hanya kau seorang dan biar mereka jadi saksi!!”


Refleks automatik Alias berbunyi, “Kepala hotak diorang!! Aku lempang jugak dua-dua Polan dengan Polanah ni!!”


Si perempuan terdiam. Tapi, “Kenapa awak tak pernah buat macam tu?”


“Buat apa? Jadi bodoh?”


Kita langkau terus ke bahagian penamat, kerana kita semua mesti tahu akan konsekuensi kata-kata Alias.


Cuma Alias ingin kita semua tahu, sekarang dia rasa macam tergantung di langit ibarat layang-layang yang diikat semalaman dipokok mangga.


Jan 27, 2009

Ya, aku akui, aku memang naïf tentang perempuan, walaupun usia aku sudah menghampiri suku abad. Bukan kerana aku memiliki keinginan songsang, cuma aku agak kekok berbual dengan seorang perempuan. Mereka lembut, sukar difahami dan punyai rahsia yang tersendiri. Lebih-lebih lagi pada cara mereka memandang. Walaupun mereka tidak pernah memandang tepat, tapi setiap kali mereka berselisih dengan lelaki, mereka akan melirik sepantas kilat. Dan, sepantas kilat itu juga mereka akan menyimpulkan seseorang itu dari ekor mata mereka itu. Itulah perkara yang membuatkan aku tidak selesa dan takut bertembung dengan mereka, kerana aku tak tahu apa mereka fikirkan. Kadang kala aku menjadi takut dengan apa yang mereka fikirkan. Tapi, ada masanya aku tidak peduli apa yang mereka fikirkan.

Tapi, hanya ada seorang perempuan yang sering aku fikirkan tentang apa yang difikirkannya tentang aku. Namanya Aida, hanya Aida,jika tanpa binti. Aku selalu memikirkan dia, sebagaimana aku harap dia fikirkan tentang aku juga.Mengharapkan dia memikirkan aku setaip masa sudah cukup menympulkan bahawa aku telah jatuh cinta,walaupun aku sendiri tidak percaya. Mungkin kerana aku tiada pengalaman dengan perempuan..

Bila diingat kembali, aku kurang kawan perempuan ketika zaman kanak-kanak. Kalau ada pun, adik kepada kawan aku. Itu pun bukan selalu dia mengikuti kami, budak-budak lelaki bermain, cuma sekali sekala. Itu saja. Tak lama kemudian, aku masuk sekolah rendah. Di sekolah rendah, aku berjumpa lebih banyak kawan baru, dan lebih banyak kawan perempuan. Waktu ini aku tak pernah kekok bergaul dengan budak perempuan, kerana kami masing-masing sama, masih hijau dan kurang berperasaan. Kami akan bermain bersama, makan bekal mereka, tarik tudung mereka, atau gaduh dengan mereka. Ianya memang perkara biasa budak-budak tahap satu lakukan.

Masuk tahap dua, keadaan berubah sedikit. Masing-masing sudah mula berperasaan dan mula rasa lebih dewasa. Masing-masing rasa sudah cukup besar untuk punyai ‘boyfriend-girlriend’. Lebih-lebih lagi, bila saat pertumbuhan biologi kami yang sedang rancak pada waktu itu. Kawan-kawan lelaki sudah mula memilih kawan-kawan perempuan mana yang cantik, yang hendak dipikat dan yang mana lebih baik dari pilihan yang pertama. Kawan-kawan perempuan juga sama, siapa yang lebih kacak, siapa yang paling hebat main bola, siapa paling kelakar, dan macam-macam lagi ‘siapa yang paling apa’.

Tapi, biasanya itu semua bukan aku, kerana aku bukan ‘siapa yang paling apa’. Aku paling kurang mendapat perhatian dari perempuan. Mereka lebih suka berbual dengan budak lelaki lain. Walaupun aku berada di kelas pertama dan selalu mendapat semua A dalam semua subjek, tapi itu tak membantu sangat. Waktu itu aku sangat teruja untuk mempunyai seorang ‘girlfriend’ supaya aku juga tidak ketinggalan berbanding kawan-kawan. Tapi kemudiannya ianya berlaku lebih sukar dari jangkaan. Hari itu aku kembali dari rehat dan mendapati ada sepucuk surat bawah meja aku. Ianya adalah sepucuk surat cinta dari peminat rahsia. Aku tahu itu surat cinta kerana ada bentuk hati di sebelah nama penerima. Nama aku. Cuma aku tak tahu dari siapa kerana aku belum buka dan baca. Secara tiba-tiba aku rasa seram sejuk. Aku mula menggigil. Cepat-cepat aku sorokkan supaya kawan-kawan lain tidak nampak. Kelas bermula, cikgu masuk, dan aku pun mula takut. Takut cikgu tahu pasal surat itu, takut cikgu marah, takut cikgu akan rotan aku, takut cikgu akan beritahu ibubapa aku, dan aku takut ibubapa aku sambung rotan aku di rumah.

Aku jadi takut setiap kali mata cikgu memandang aku. Aku takut tiba-tiba cikgu tanya aku, takut cikgu tahu kerana aku dah mula tergagap-gagap. Akhirnya, habis waktu kelas subjek itu, aku lekas-lekas ke tandas bersama surat tadi didalam kocek.

Setelah pintu ditutup rapat dan pasti tiada orang mengintai, aku keluarkan surat itu dari kocek. Aku buka cepat-cepat dan lihat nama pengirim di bawah surat. Tiada. Cuma ada perkataan ‘secret ardmirer’ (memang dieja begitu). Aku baca sekali imbas, dan cepat-cepat masukkan kembali ke dalam sampul, gumpalkannya, dan campak dalam mangkuk tandas. Aku tarik tali pam. Tapi surat itu masih timbul, tidak terikut dengan air. Aku jadi cuak dan menggelabah. Cepat-cepat aku buka paip dan ambil getah paip, siram air ke mangkuk tandas, tapi ia masih timbul. Berpusing-pusing dalam mangkuk tandas. Hinggalah air di pam penuh balik, dan aku tarik tali pam dan surat itu hilang.

Aku balik ke kelas dan segera aku terlupa isi kandungan surat itu.

UPSR tamat dan keputusan keluar. Waktu untuk sekolah menengah. Sekolah menengah lebih seronok dan lebih hebat. Tapi, hal sebaliknya berlaku pada perkara-perkara berkaitan perempuan dan cinta, ianya membosankan dan menyedihkan.

Aku mendapat tawaran ke High School dan aku terima. Ianya adalah sebuah sekolah menengah lelaki, tiada pelajar perempuan kecuali bagi kelas-kelas tingkatan enam, tapi kami tidak pernah pedulikan mereka. Kadang-kadang aku rasa mereka mengacau keharmonian budak lelaki dalam sekolah. Tapi itu perkara lain.

Kami, pelajar-pelajar yang mendapat tawaran di sekolah itu, mendiami asrama sekolah kerana tempat tinggal kami yang jauh dari sekolah. Ianya menjadikan kami lebih rapat, lebih mengenali masing-masing. Mana yang satu kepala, mana yang kepala tak boleh masuk, mana yang kepala boleh layan, mana yang tak boleh layan. Bukan memilih kawan, cuma lebih selesa bergaul dan tidaklah tepu dan bosan berselisih minat. Tapi kami semua tetap kawan, macam adik beradik, tetap makan nasi kawah yang sama, tetap berteduh dibawah bumbung yang sama, dan tetap berak di tandas yang sama.

Waktu ini aku mula menanam minat baru. Aku mula belajar main gitar dan dengar lagu-lagu rock dan underground. Ada lagu yang keras dan berat, ada lagu yang lembut dan ringan, ada yang berbunyi-bunyi pelik, dan dalam keras, berat, lembut atau ringan itu, tetap kami jumpa melodi yang menyegarkan halwa telinga. Minat kami lebih kepada muzik-muzik yang alternatif, lain dari muzik-muzik yang keluar dicorong radio yang leleh, tiada identiti, letih dan membosankan.

Aktiviti hujung minggu kami ialah pergi gig. Bergerak dalam kumpulan dan menaiki bas untuk ke tempat acara. Malah, kami juga pernah cabut dari asrama, memanjat pagar malam-malam untuk pergi gig di Segamat yang terletak jauh dari daerah kami. Sementara menunggu pagi, kami pergi pusat jamming. Ianya bukan satu sesi ‘jam’ yang baik, kerana kesemua kami berebut main gitar, dan tiada siapa pandai main dram. Akhirnya tiap-tiap orang bergilir-gilir main, dan ‘jam’ itu memang teruk kerana bunyi permainan dram yang kucar kacir dan haru.

Setelah penat sesi ‘jam’ barai tadi, kami keluar pusing-pusing bandar, dan mencari masjid terdekat dan tidur.

Sehingga tamat sekolah, aku masih membawa minat muzik dan gig dalam diri aku.

Tamat sekolah menengah, tiada apa sangat yang berlaku. Aku berkerja sementara dan kemudian menyambung diploma. Diploma pengurusan, dimana ianya antara waktu terbaik dalam hidup aku. Aku bertemu dengan Aida disitu.

Aida seorang perempuan yang ringkas; simple and easy going. Dia tidak mencuba terlalu kuat, dan lebih terbuka. Setiap hari dia akan memakai sepasang kasut Converse berwarna biru tua yang agak lusuh, seluar jean yang juga lusuh, t-shirt, bercelak dan membawa beg galas yang penuh button badges, untuk ke kelas, kecuali hari Jumaat. Hari Jumaat pelajar perempuan diwajibkan memakai baju kurung. Aida akan ke kelas pada hari itu memakai baju kurung yang agak longgar dan baju kurung ini boleh di cam, kerana Aida cuma ada sepasang baju kurung yang dipakai berulang-ulang. Baju kurung longgar itu antara yang aku tidak suka padanya, selain rambutnya yang berwarna. Mungkin agak longgar baju kurung itu, kerana badannya yang agak kurus, dengan dada yang sederhana besar. Punggungnya juga tidak besar, dan dia suka memakai seluar sedikit londeh.

Rambutnya tidak terlalu panjang, hanya lebih sedikit melepasi bahu, dengan jalur-jalur kuning disana sini. Kadangkala jalur kuning itu diganti dengan jalur merah, atau jalur perang, tapi jarang sekali diganti dengan tudung. Hanya pada waktu-waktu tertentu saja ianya akan berganti dengan tudung litup, iaitu pada subjek berkaitan agama dan diajar pula oleh seorang ustaz atau ustazah.

Maka, selalunya aku akan berkata, “Kak, saya nak beli kismis doa, bagi dua kotak ye?”

Dia akan menghempas buku ke atas meja dan memandang tajam pada aku.

“Wei, blah la lu.!!” separuh menjerit pada aku. Aku cuma tergelak perlahan sebab kami di dalam perpustakaan waktu itu. Aku disitu hanya untuk membuang masa sementara menunggu hujan reda. Aida pula baru keluar dari kelas bersebelahan perpustakaan, juga menunggu hujan reda.

“Taklah, aku gembira, kawan-kawan dapat hidayah..hahaha..”

“Aku kelas IEP (Islamic Economic Princples) la tadi.”

“Jadi?”

“Jadi apa?”

“Tu.” Aku menuding ke arah tudung putih Aida. Ianya tudung yang ringkas tanpa corak sarat, cuma ada sedikit corak-corak di bucu tudung.

”Kelas Ustaz Nawawi tadi, takkan aku nak freehair macam biasa. Bukanlah pasal aku takut kena tegur, tapi hormatlah. Respect kat lecturer.”

”Kalau macam tu, ustaz tu pun patut hormat kau juga. Kau memilih untuk tidak bertudung, dan ustaz tu kena hormat juga hak memilih kau, bukan?”

”Maksud kau, aku hipokrit la?”

”Taklah.”

“Aku bukan apa, aku tak nak mewujudkan keadaanlah, tak nak buat ustaz tu bengang, lagipun aku nak pergi kelas, bukan nak tunjuk keras kepala.”

Aku diam, Aida diam. Ruang perpustakaan itu diam. Satu dunia diam. Aida bangun dan pergi ke tandas. Selepas lima minit, dia keluar bersama tudung di tangan, dengan gaya iklan Head and Shoulders.

Aku cakap, “Ustaz Nawawi tu sempoi la, dia tak kisah kalau kau freehair dalam kelas dia.”

Aku sebenarnya tidak pernah perasan akan kehadiran Aida pada awal semester, hinggalah satu hari aku ternampak dia di dalam gig yang sama. Dia bersama seorang kawannya yang nampak agak bosan dan sedang meletakkan tapak tangan pada kedua-dua belah telinganya. Aku pasti kawan Aida itu, dipaksa menemani Aida.

Aku di situ bersama dua orang lagi kawan yang sealiran, Manaf dan Shim. Sealiran muzik. Dan kemudian Shim berjalan menuju ke arah Aida dan kawannya. Mereka berbual sebentar, separuh menjerit melawan bunyi yang kuat dari pembesar suara. Tamat gig, kami melepak di warung makan, bersama Aida dan kawannya. Aku tak bercakap banyak, cuma duduk diam, minum, merokok, dan mencuri pandang kepada Aida. Memang kami semua tak banyak bercakap, kerana kami semua masih baru kenal. Aku dan Manaf bersebelahan bilik. Manaf kenal Shim masa mereka satu kumpulan semasa orientasi. Shim pula sekelas dengan Fifi. Dan Fifi pula, kawan Aida tadi, sebilik dengan Aida. Itu menjadikan kami agak asing antara satu sama lain. Itulah kali pertama aku jumpa Aida.

Aku dan Aida memang jarang berjumpa. Cuma ada dua tiga kali kami berkongsi meja, melepak minum dengan kawan-kawan. Ataupun terserempak di dalam perpustakaan kampus. Atau sekali sekala jika ada gig, kami akan pergi bersama. Selain itu, kami membawa haluan masing-masing.

Malahan, semakin lama, semakin kurang aku bercakap dengan Aida, seiring dengan semakin kuat rasa suka padanya. Itulah masalahnya jika terjatuh cinta atau terjatuh suka pada kawan sendiri, semuanya akan jadi kekok, semuanya akan bertukar.

Aku sendiri sudah lama ingin mengajak Aida menyertai Battle of the Band anjuran kampus kami. Aku tahu, Aida boleh bermain gitar, sebab Fifi pernah beritahu. Malah, Aida sendiri ada gitar di dalam bilik. Jadi, Aida boleh bermain gitar, dan aku bermain dram (berkat dari ‘jam barai’ waktu sekolah dahulu, aku mengambil insiatif untuk belajar bermain dram kerana takut kawan-kawan ‘jam’ tiada pemain dram). Itu sudah cukup, berdua lebih baik, barulah macam The White Stripes. Tetapi masalahnya, lidah aku kelu bila tiap kali ingin mengajak Aida.

Kau gila?! Gila poyo! Aku tak confident la. Kau boleh ke main dram, aku tak pernah nampak pun? Kau dah makan ubat?

Itu semua reaksi Aida yang terlintas dalam kepala aku, tiap-tiap kali aku panggil, “Aida,”

“Ada apa?” --- Kau gila?! Gila poyo! Aku tak confident la. Kau boleh ke main dram, aku tak pernah nampak pun? Kau dah makan ubat?

“Err..tak ada apa-apa,”

“Apa dia?” --- Kau gila?! Gila poyo! Aku tak confident la. Kau boleh ke main dram, aku tak pernah nampak pun? Kau dah makan ubat?

“Tak ada apa-apa, tak ada apa-apa..”

Hinggalah ke semester terakhir. Suatu hari aku dapat tahu Aida masuk Battle of the Band untuk semester itu, semester terakhir kami.

Dia dan tiga lagi kawan perempuan yang mendapat siulan dan sorakan paling meriah hari itu. Aida bermain gitar dan menyanyi. Setiap band perlu membawa dua lagu, band Aida, My Morning Remedy, membawa lagu Possibility (Intoxicated) dan Linger (The Cardigans). Persembahannya biasa saja, dan My Morning Remedy tidak mendapat tempat tiga teratas pun.

Tapi suara Aida yang menyanyikan lagu Linger dan Possibility masih terngiang-ngiang di telinga. Semasa Aida menyanyi diatas pentas itu, aku cuma berdiri ditengah-tengah khalayak ramai, diam dan memerhati setiap gerak dia. Dia tidak kekok dan sedang menyanyi dengan gembira, sambil bermain gitar.

Sementara itu, aku pun terfikir adakah Possibility untuk aku dan Aida. Tapi, pada waktu itu juga aku sudah merasakan kami semakin jauh. Lebih-lebih lagi selepas tamat peperiksaan akhir semester nanti, kami semua akan membuka lembaran baru dalam hidup dan membawa jalan hidup masing-masing. Kami akan berpisah, mungkin akan berjumpa kembali, mungkin juga tidak, kerana kami bukan penentu takdir.

Seperti wujudnya seorang ‘Mukshin’ dalam diri kita semua, sebagai satu perlambangan kepada cinta yang pertama sekali hadir, aku juga percaya, dalam setiap diri kita, juga mungkin wujud seorang ‘Aida’. Seorang ‘Aida’ yang kita cintai tapi tak pernah dapat kita sentuh atau rasa cintanya itu, tetapi kerana rasa cinta itulah, kita jadi semakin kuat dan berani, walaupun ‘Aida’ itu hanya singgah sebentar. Mungkin dalam hidup kita, akan muncul beberapa orang ‘Aida’, mungkin ada yang bakal menjadi isteri atau suami, ada yang tidak. Malah aku sendiri awal-awal lagi sudah menjadi seorang ‘Aida’ kepada Secret Adrmirer yang menghantar surat cinta waktu aku sekolah rendah. Tapi, bagi aku, hanya ada seorang ‘Aida’ dalam hidup aku, dan aku mahu dia terus menjadi seorang ‘Aida’.

Selesai persembahan My Morning Remedy, aku terus pulang. Aku tidak menoleh belakang lagi. Dan sebab itulah, Aida tidak lagi menemui aku dimana-mana pun selepas itu, hinggalah kami tamat pengajian. Hinggalah sekarang.

Jan 25, 2009

Untuk mencari sebuah jawapan, biasanya aku akan termenung, bersendirian dan berdiam diri. Puas langit aku tenung, habis bintang di langit aku kira, dan wajah bulan yang sudah mula bosan melihat aku.

Tapi selalunya takkan muncul jawapan yang aku hendaki. Cuma kali ini agak berlainan. Bukan kerana aku mendapat sebuah jawapan, tapi kerana kali ini Consciousness datang berbisik, secara tiba-tiba.

“Lu ingat lu mengasingkan diri, lu boleh dapat jawapan? Lu ingat lu cendekiawan? Hah?!”

Oleh kerana malu, aku mula mengemas, mula membungkus sedikit bekalan dan pakaian. Aku mahu mencari jawapan.

“Kau mahu apa lagi?” jerit Doubt dari jauh berlari mendekati aku.

“Aku mahu mencari jawapan.” Jawab aku sedikit acuh tak acuh.

“Jawapan yang tiada soalan?” Doubt balasnya, mematikan kata-kataku. “ Kalau begitu carilah Contentment.”

Maka, aku memulakan pengembaraan aku. Setelah hampir setengah hari meninggalkan rumah, aku baru teringat sesuatu. Lekas-lekas aku membuka beg, dan menyelongkar semua isinya. Tiada. Apa yang aku cari tiada. Aku mesti telah tertinggalkannya. Aku tertinggal Luck diatas katil tadi. Putus asa dan malas berpatah balik, aku teruskan perjalanan.

Aku tegar meneruskan perjalanan, seolah aku ditemani Exhilaration. Aku senyum, aku ketawa, menghilangkan gusar, dan bimbang, kerana dalam bayangan separa sedar, aku menganggap aku melihat Exhilaration di sebelah.

Dan ku terdengar orang gelak dibelakang aku. Gelaknya cermat dan agak menyakitkan hati. Seorang tua berpakaian putih, dengan janggut putih memenuhi bahagian bawah wajahnya. Dia ialah Wisdom. Aku mula bengang.

Wisdom sedang duduk dibawah sebuah pokok yang besar dan lebat daunnya. Hari panas, begitu juga hati aku. Aku turut sama berteduh dengan Wisdom.

“Kau mencari Contentment?” soal Wisdom yang suka berpakaian putih.

“Kenapa? Tak boleh ke, kalau aku tertinggal Luck.?”

“Kau tak perlukan Contentment. Tiada siapa pun.”

“Eh, kenapa?”

“Sebab kau Human Being. Homo Sapien. Setiap dari kamu tidak pernah puas. Jika kamu bertemu dengan Contentment pun, kamu pasti mahu lagi. Kamu mahu dia seperti banyak ikan dilaut.”

“Aku janji aku tak begitu.” Aku cuba meyakinkan Wisdom.

“Kau tahu pasal Firaun?”

“Hmm?”

“Dia adalah seorang raja. Raja yang berkuasa, kaya raya, kuat dan punyai segala apa yang manusia impikan. Dia mampu membuat seluruh Mesir mengikut kata dia, walaupun terpaksa membunuh anak lelaki mereka sendiri. Dia ada apa yang setiap lelaki mahu, perempuan, harta, kuasa, dan nama, Dan didalam Al-Quran pun tertulis namanya, membuktikan sejarahnya, kewujudannya. Malahan, dia tidak pernah dihinggapi walau satu penyakit pun. Tapi adakah dia puas?”

“Err..tak tahu?” jawab aku pendek, kerana aku tahu ini bukan giliran aku bercakap banyak.

“Begitu banyak pun Contentment yang dia miliki pun masih belum mampu memuaskan hatinya. Firaun memiliki segalanya, tapi itu masih tidak cukup, apalagi yang tidak cukup setelah menjadi Raja Dunia? Mestilah dia mahu lebih dari dunia. Dia mahu menjadi Tuhan, dia mahu seisi alam menurutnya, mengikut setiap katanya.”

Wisdom diam sebentar. Aku pula sudah dari tadi berdiam diri.

Wisdom senyum padaku. “Kau carilah Exhilaration. Dia ada di Teratak An-Nur.“

Dan aku bingkas bangun. Aku teruskan perjalanan, mencari Exhilaration, selepas berterima kasih pada Wisdom. Aku cakap pada Wisdom, “Lainkali jangan gelak macam tu.”

Aku tabahkan hati, kerana aku tahu, didalam kocek aku masih terselit Providence. Aku tahu, serbuk Providence, membuka seribu satu kemungkinan.

Jalan masih luas.