Jun 23, 2009

Konklusi untuk hari ini; bekerja dari awal pagi hingga malam belum tentu akan membawa sesuatu yang baik. Secara fizikal atau spiritual. Lebih-lebih lagi emosi. Itu yang Alias pelajari untuk hari ini. Selain dari jiwa yang separuh zombie, selebihnya adalah badan yang auto mode; macam dalam The Click.

Campur dengan jalan yang sesak, ianya memang hari yang ‘menarik’ bagi Alias.


Lima minit kemudian. telefon berbunyi. Suara si perempuan di hujung talian. Si perempuan yang dalam mode manja-manja dan Si Alias yang lesu pasti bukan satu hibrid yang cantik.


Si perempuan mula bercerita tentang kawan-kawan dari komuniti dalam talian.


Si perempuan cerita akan kawan-kawan dalam internet meletakkan gambar-gambar romantik masing-masing dengan lelaki-lelaki mereka. Malah, ada lelaki-lelaki mereka yang meletakkan gambar bersama yang dianggap romantik sebagai tanda cinta yang agung. Siap diletakkan efek-efek menambahkan lagi kehangatan percintaan mereka.


Dan, si perempuan masih lagi bercerita tentang kawan-kawannya, lelaki-lelaki mereka juga memuatnaik video suntingan sendiri, sebagai tanda mengabadikan kenangan indah bersama lelaki dan perempuan.


“Mestilah, sebab lelaki-lelaki bodoh tu dipaksa oleh kawan-kawan bodoh kau dengan rajukan mereka,” kata Alias, jauh dalam hati.


Lagi katanya, si perempuan itu, dia baru saja baca buletin Frenster Si Polan yang sungguh romantik. Buletin dan romantik? Si Polan mengepos, “Siti Polanah, aku cinta padamu, dan mari kita satukan cinta ini hingga akhir hayat, sudikah?!!”


Dan si Polanah menjawab, “Oh, sungguh terharu. Aku cinta padamu selamanya. Hanya kau seorang dan biar mereka jadi saksi!!”


Refleks automatik Alias berbunyi, “Kepala hotak diorang!! Aku lempang jugak dua-dua Polan dengan Polanah ni!!”


Si perempuan terdiam. Tapi, “Kenapa awak tak pernah buat macam tu?”


“Buat apa? Jadi bodoh?”


Kita langkau terus ke bahagian penamat, kerana kita semua mesti tahu akan konsekuensi kata-kata Alias.


Cuma Alias ingin kita semua tahu, sekarang dia rasa macam tergantung di langit ibarat layang-layang yang diikat semalaman dipokok mangga.


0 Comments:

Post a Comment