Jun 23, 2009

Pukul empat pagi dan semua isi rumah sudah mula terjaga. Ayah dan ibu yang paling awal terjaga. Waktu Amri bangun, mereka sudah sibuk dengan tugas masing-masing. Pagi masih gelap macam malam, dan Amri mula melangkah segera ke belakang. Ayah masih di sebelah pelita sedang mengasah pisau toreh. Manakala, ibu sedang meniup api dapur kayu semasa Amri berlalu di sebelah. Amri sangkut tuala di bahu dan menceduk air kolam. Kelak, pukul lima pagi dia perlu ke sekolah.

Pukul 5.30 pagi, rumah itu mula sepi.


*


Pukul 5.30 pagi, rumah itu masih sepi.


Amri masih terus berdengkur. Tapi tidurnya tidak pernah lena, kadang-kadang terjaga, tapi dikejam mata rapat-rapat. Hampir ke pukul enam pagi baru rumah itu diterangi cahaya kalimantang. Amri mencapai tuala dan menyangkut di bahu dan duduk di kerusi meja makan. Di sebelah kanan ada Ramli, lapan tahun, sedang tersengguk-sengguk, Di belakang sana, Hafiza sedang menyelongkar selonggok kain baju, mencari sesuatu.


Anita keluar dari bilik mandi. Amri membiarkan saja isterinya berlalu, dan melangkah masuk ke dalam bilik mandi.


*


Selesai mandi, Amri terus mengenakan pakaian sekolah. Seluar pendek warna biru tua dan baju putih yang kekuning-kuningan. Diambilnya bekal berbungkus daun pisang dan beg sandang berwarna hijau dan mula melangkah keluar rumah. Hari masih gelap, dan masih tiada bayang Abdul. Waktu begini dia dan Abdul akan berjalan kaki ke sekolah bersama-sama. Sama-sama meredah pagi yang mula mencerah sambil diselubungi hutan belukar dan ladang-ladang getah. Sambil ditemani bunyi burung hantu, sambil bertembung dengan musang, juga dengan takut-takut terlihat bekas tapak kaki babi hutan. Tapi alah bisa tegal biasa, semua itu sudah tidak memberi bekas lagi. Malahan perjalanan sepanjang lapan kilometer ke sekolah juga dirasa pendek.


Lagipun bukan mereka berdua saja, masih ada lagi beberapa orang murid sekolah yang lain turut melalui jalan yang sama. Merekalah generasi selepas darurat yang bakal mendominasi masa depan. Banyak lagi yang diperlukan semasa zaman pembangunan ini, untuk merangkak sebelum berlari.


Amri masih menunggu dalam cerah cahaya bintang. Abdul belum juga muncul. Dia masih terus menanti.


*


Amri masih lagi menanti Anita keluar dari bilik. Hidup di zaman ini memang tak semudah yang dibayangkan. Dia dan isteri sama-sama bekerja untuk menampung isi rumah. Gaji dia seorang belum cukup membuatkan hidup mereka lima beranak selesa. Tapi, tak mengapalah, hidup perlu diteruskan.


Bunyi hon dari van kuning yang berhenti di halaman rumah membuatkan Amri tersentak. Dia bingkas bangun dan menuju ke pintu. Anak-anaknya segera mendapatkan Amri dan mencium tangannya sebelum lekas-lekas masuk ke dalam van kuning itu.


“Nah, ni bagi kat Pak Hamid,” sambil menghulurkan sampul surat berwarna coklat kepada Hafiza sebelum Hafiza masuk ke dalam van sekolah. Hafiza menyerahkan sampul surat itu kepada Pak Hamid. Pemandu van itu tersenyum dan memandang Amri. Dia mengangkat tangan menunjukkan sampul surat itu sebelum memandu meninggalkan laman rumah.


Pagi makin cerah, dan suasana semakin hingar. Kereta-kereta mula memenuhi jalan. Burung-burung pun sibuk berkicau, kecuali bunyi kicauan mereka tenggelam. Hanya bunyi hon yang silih berganti, dan Amri masih lagi berdiri di laman rumahnya.


Saat-saat ini dia teringat akan hutan dan belukar yang menjadi dilalui dalam perjalanan ke sekolah sewaktu kecil dahulu. Dia terbayangkan sekolahnya yang jauh lapan kilometer; berbanding dengan sekolah Hafiza dan Ramli yang cuma lebih sedikit satu kilometer. Dia teringat akan musang, burung hantu atau kelawar yang muncul mengejut. Atau kelibat babi hutan di sebalik belukar.


Mungkin Hafiza atau Ramli tak akan jumpa hutan belukar di sepanjang perjalanan mereka, tetapi Hafiza dan Ramli hidup di dalam hutan konkrit yang dipenuhi bintang yang lebih buas dari musang, kelawar atau babi hutan. Salah siapa? Amri tiada jawapan.


Dan Amri masih lagi menunggu di luar.


0 Comments:

Post a Comment