Jun 23, 2009

Ikbal menumbuk stereng kereta. Kereta didepannya langsung tak bergerak. Dia menekan-nekan hon. Kereta-kereta didepannya masih lagi tidak bergerak. Bunyi hon bersahutan seperti jeritan banduan di dalam penjara akhir.

Ikbal buntu.


Buntu dan terperangkap.


Dia berhenti menekan-nekan hon macam orang gila.


“Lantaklah..biar mereka tekan hon sampai lenguh,”


Tombol penghawa dingin dipusing habis. Biar hati sejuk. Biar sampai beku.


“Kerja --“ fikir Ikbal, “adalah seperti nasi lemak tak sedap,”


Pekerjaan kita adalah seperti nasi lemak tak sedap di warung pojok depan rumah kamu. Atau mungkin depan taman perumahan kamu.


Dengan minimum dua ringgit kamu akan dapat nasi lemak dan telur dan sambal. Untuk lauk lain kamu perlu tambah duit lagi.

Nasi lemak yang kurang rasa lemaknya dan sejuk, dengan hidangan standard; kacang yang lemau, timun yang dipotong tanpa ada seni figuratif tertentu, telur rebus dipotong satu perempat dari gred C yang sememangnya kecil (lupakan telur goreng kerana dalam hidangan standard mestilah telur rebus), juga ikan bilis yang hancur yang tidak dibuang isi dan kepalanya. Sambal yang cair dan tidak pedas dengan tiada langsung isi samada sotong, malahan ikan bilis pun.


Dan tidak ketinggalan lauk-lauk tambahan yang kelihatan beku dan terbiar. Ayam-ayam goreng/sambal/kari yang sejuk sudah disiap masak sejak awal pagi. Sambal sotong/kerang/udang yang nampak seperti racun diarrhea. Dan kari yang mula membeku dan berlinang minyaknya.


Juga, sebagaii bonus, tukang ceduk nasi (walhal bukan bos pun) yang tidak pernah senyum atau bercakap apabila kamu datang, malahan melihat kau seperti seekor kucing liar yang datang untuk selongkar tong sampah. Dan juga tauke kedai yang memulangkan duit baki kamu tanpa ucap terima kasih.


Tapi esok kau datang lagi ke kedai nasi lemak tak sedap di warung pojok tepi jalan. Dan rutin berterusan.

.

.

.

.

.


Kereta-kereta di jalan raya masih lagi merangkak-rangkak perlahan, dan perut Ikbal mula berkeroncong.


0 Comments:

Post a Comment