Jan 25, 2009

Untuk mencari sebuah jawapan, biasanya aku akan termenung, bersendirian dan berdiam diri. Puas langit aku tenung, habis bintang di langit aku kira, dan wajah bulan yang sudah mula bosan melihat aku.

Tapi selalunya takkan muncul jawapan yang aku hendaki. Cuma kali ini agak berlainan. Bukan kerana aku mendapat sebuah jawapan, tapi kerana kali ini Consciousness datang berbisik, secara tiba-tiba.

“Lu ingat lu mengasingkan diri, lu boleh dapat jawapan? Lu ingat lu cendekiawan? Hah?!”

Oleh kerana malu, aku mula mengemas, mula membungkus sedikit bekalan dan pakaian. Aku mahu mencari jawapan.

“Kau mahu apa lagi?” jerit Doubt dari jauh berlari mendekati aku.

“Aku mahu mencari jawapan.” Jawab aku sedikit acuh tak acuh.

“Jawapan yang tiada soalan?” Doubt balasnya, mematikan kata-kataku. “ Kalau begitu carilah Contentment.”

Maka, aku memulakan pengembaraan aku. Setelah hampir setengah hari meninggalkan rumah, aku baru teringat sesuatu. Lekas-lekas aku membuka beg, dan menyelongkar semua isinya. Tiada. Apa yang aku cari tiada. Aku mesti telah tertinggalkannya. Aku tertinggal Luck diatas katil tadi. Putus asa dan malas berpatah balik, aku teruskan perjalanan.

Aku tegar meneruskan perjalanan, seolah aku ditemani Exhilaration. Aku senyum, aku ketawa, menghilangkan gusar, dan bimbang, kerana dalam bayangan separa sedar, aku menganggap aku melihat Exhilaration di sebelah.

Dan ku terdengar orang gelak dibelakang aku. Gelaknya cermat dan agak menyakitkan hati. Seorang tua berpakaian putih, dengan janggut putih memenuhi bahagian bawah wajahnya. Dia ialah Wisdom. Aku mula bengang.

Wisdom sedang duduk dibawah sebuah pokok yang besar dan lebat daunnya. Hari panas, begitu juga hati aku. Aku turut sama berteduh dengan Wisdom.

“Kau mencari Contentment?” soal Wisdom yang suka berpakaian putih.

“Kenapa? Tak boleh ke, kalau aku tertinggal Luck.?”

“Kau tak perlukan Contentment. Tiada siapa pun.”

“Eh, kenapa?”

“Sebab kau Human Being. Homo Sapien. Setiap dari kamu tidak pernah puas. Jika kamu bertemu dengan Contentment pun, kamu pasti mahu lagi. Kamu mahu dia seperti banyak ikan dilaut.”

“Aku janji aku tak begitu.” Aku cuba meyakinkan Wisdom.

“Kau tahu pasal Firaun?”

“Hmm?”

“Dia adalah seorang raja. Raja yang berkuasa, kaya raya, kuat dan punyai segala apa yang manusia impikan. Dia mampu membuat seluruh Mesir mengikut kata dia, walaupun terpaksa membunuh anak lelaki mereka sendiri. Dia ada apa yang setiap lelaki mahu, perempuan, harta, kuasa, dan nama, Dan didalam Al-Quran pun tertulis namanya, membuktikan sejarahnya, kewujudannya. Malahan, dia tidak pernah dihinggapi walau satu penyakit pun. Tapi adakah dia puas?”

“Err..tak tahu?” jawab aku pendek, kerana aku tahu ini bukan giliran aku bercakap banyak.

“Begitu banyak pun Contentment yang dia miliki pun masih belum mampu memuaskan hatinya. Firaun memiliki segalanya, tapi itu masih tidak cukup, apalagi yang tidak cukup setelah menjadi Raja Dunia? Mestilah dia mahu lebih dari dunia. Dia mahu menjadi Tuhan, dia mahu seisi alam menurutnya, mengikut setiap katanya.”

Wisdom diam sebentar. Aku pula sudah dari tadi berdiam diri.

Wisdom senyum padaku. “Kau carilah Exhilaration. Dia ada di Teratak An-Nur.“

Dan aku bingkas bangun. Aku teruskan perjalanan, mencari Exhilaration, selepas berterima kasih pada Wisdom. Aku cakap pada Wisdom, “Lainkali jangan gelak macam tu.”

Aku tabahkan hati, kerana aku tahu, didalam kocek aku masih terselit Providence. Aku tahu, serbuk Providence, membuka seribu satu kemungkinan.

Jalan masih luas.


0 Comments:

Post a Comment