Nov 2, 2011

Lapar itu nikmat.

Bila perut mula bergelodak, peluh mula merembes sejuk dan terasa angin mencuri keluar dari kerongkong, ianya perasaan yang indah. Aku memerhatikan jam. Masih ada sepuluh minit antara aku dan kertas-kertas kerja ini.

Aku manusia yang ringkas. Dengan cita-cita yang ringkas. Kerana aku menetapkan cita-cita aku dalam period waktu yang singkat. Seperti contoh sekarang, cita-cita aku adalah semudah ke kedai makan yang terdekat, makan, bayar kemudian pulang.

Ianya petang yang cerah. Aku harap ianya petang yang tenteram.

Kadang kala aku terasa seperti pathetic. Duduk sendirian di meja menunggu pesanan tiba, aku memang binatang kera. Kera sumbang.

Selang sepuluh minit, satu susuk mula menghampiri meja aku. Kawan sepejabat. Kawan yang jarang bertegur. Dia nampak aku dari jauh. Dan aku nampak dia dari jauh. Dia datang dekat dan duduk semeja dengan aku.

“Sorang?”

“Ha’ah”

Dan datang pelayan ambil pesanan.

“Tak balik lagi?”

“Belum, makan dulu baru balik.”

Ya, dia pun notis yang ini perbualan di tahap IQ sifar. Sudah tentu aku sendirian. Dan sudah tentu dia datang ke kedai makan untuk makan. Tapi inilah bentuk perbualan yang paling ringkas boleh dipraktikkan. Meja-meja sebelah banyak kosong. Pelanggan tidak ramai. Dan kalau dia datang dan duduk di meja lain, ia akan jadi awkward bagi dia. Dia kena duduk di meja aku sebab aku sendirian dan meja lain kosong. Aku kena pelawa dia duduk disitu sebab aku nampak dia sendirian. Lainlah kalau dia tak perasan aku dari awal.

Mungkin ini yang dinamakan berbudi bahasa. Walaupun penuh awkward.

Makan adalah satu alasan untuk mendiamkan diri kerana mulut sibuk mengunyah. Tapi apabila selesai makan, kami berpindah ke satu lagi fasa yang perlu ditempuh dalam etika berbudi bahasa ini.

Aku mahu segera pulang, tapi nampak agak kurang sopan. Untuk kelihatan sopan, kami perlu berbual ringkas sebelum pulang. Lebih-lebih lagi dia mula menyalakan rokok. Aku anggarkan, mungkin selepas tiga batang rokok, baru kami akan bersurai.

“Rokok?” pelawa dia. Walaupun sangat jelas aku tak pernah kelihatan di ruang merokok di pejabat.

Aku tak merokok. Aku tak minum. Aku tak suka muzik kelab. Dan aku tak banyak bercakap. Mereka maki aku sebagai anti sosial. Kerana aku hanya termenung bila berada di pub.
Dan itu yang aku lakukan sekarang. Termenung tak tahu nak buat apa. Dia sibuk menghembus asap-asap putih. Sekurang-kurangnya dia ada sesuatu yang hendak dilakukan. Inilah kemuncak awkward.

Ia dipenuhi kesenyapan yang tak menyelesakan. Kalau ini adalah Pulp Fiction, dan dia di depan aku adalah berlainan jantina, mungkin ia akan jadi kesenyapan yang selesa. Selesa berkongsi kesenyapan berbanding merepek perkara yang bukan-bukan untuk mengaitkan perasaan masing-masing.

Tapi ini bukan, jadi aku terus termenung mencari bahan perbualan. Dia masih merokok, menoleh ke sana sini. Mungkin juga mencari topik perbualan.

Petang makin gelap. Tiba masa untuk bersurai.

Cuma aku tak pasti samada aku patut mulakan meminta diri atau membiarkan dia mulakan. Tapi aku pasti ini waktu yang paling tidak sesuai menerima kehadiran tetamu di meja kami. Lebih-lebih lagi tetamu yang sedang mabuk.

Mabuk pada pukul tujuh malam, adalah samada kau memang ada masalah besar atau kau memang sampah masyarakat. Nampaknya tetamu ini adalah kedua-duanya.

Nampaknya, kami perlu menunggu lagi; seperti penunggang motor menunggu hujan berhenti dibawah jambatan.

1 Comment:

  1. Amirul Idham said...
    Siapa kata tak de orang mabuk pukul 7?

    Kalau ABC, memang tak mustahil kot

Post a Comment