Sep 4, 2009

Entah macam mana aku boleh terlupa langit berwarna biru. Meskipun zaman ini sinonim langit berwarna kelam dan putih kotor. Oh, itu awan. Kalau bukan kerana hujan yang sudah hampir beberapa minggu tidak turun, mungkin apa yang aku nampak bila mendongak cuma awan.

Langit biru cerah dan telanjang tanpa diselimuti awan. Aku suka.

Tapi, paling aku suka bila hari cerah dan awan yang besar dan tebal, bergerak perlahan dalam cuaca yang sederhana redup. Waktu sekolah rendah, aku suka menonton awan. Bersama Harun, kami selalu melepak dibelakang bangunan sekolah, tempat berlonggok meja dan kerusi rosak, sebelum masuk kelas agama pukul tiga petang, memerhati awan.

“Yang tu macam naga,” kata Harun, “Ni naga omputih,”

“Aku nampak macam bayi, kat atas pasir pantai dengan buih laut,”

“Mana satu?” “”Tu, sebelah yang macam Supermario,” “Oh, aku nampak orang tengah depang dada, macam tengah terbang,”

Memang satu permainan mengasah imaginasi, lebih-lebih lagi bentuk awan cepat berubah dan bergerak, bertukar menjadi satu objek lain di mata aku. Dan mata Harun.

“Korang buat apa?”

Harun menoleh, aku terus dongak atas; aku dah perasan Kuma datang. “Tengok awan,”

“Yeke? Aku pun selalu buat tengok awan. Aku pernah tengok awan bentuk macam orang, besar gila awan tu, siap ada mcam warna merah, macam mata. Masa tu malam, terus aku lari masuk rumah,”

Ayat Kuma mati terus disitu kerana aku dan Harun terus mendongak; lima minit lagi pukul tiga petang.

Harun pernah beritahu aku, diatas langit ialah laut. Langit yang warna biru, yang lagi tinggi dari awan putih, atau kelabu tu, ialah laut. Pernah dengar ikan jatuh dari langit? Dan hujan tu pun dah membuktikan yang air laut dilangit sebenarnya tertumpah sebab dah melimpah ruah.

“Mana kau dengar cerita ni?” aku tanya Harun.

“Takde siapa bagitahu, cuma aku pernah nampak ikan paus kat langit,” Ikan paus kat langit? “Nanti bila dah besar, aku nak cari ikan paus tu,”

Itu semua hal dua puluh tahun lalu. Aku tak tahu samada Harun berjaya jumpa ikan paus idamannya atau tidak, dan hobi memerhati awan sudah lama aku tinggalkan, lebih-lebih lagi, generasi aku diajar untuk mengejar setiap inci peluang. Duduk bersantai itu adalah untuk orang yang gagal. Tapi, sejak aku kembali ke ibukota dan perjalananan pergi dan balik dari kubikel, aku tidak boleh tidak terperasan akan langit yang terbentang luas di sepanjang lebuhraya bertiingkat Ampang. Lebuhraya bertingkat yang menganjakkan kami jauh dari bumi untuk memotong trafik jam. Bukan saja awan-awan dan langit-langit terbentang macam gambar di skrin LCD stadium bola, malahan bangunan-bangunan sekeliling yang menambahkan lagi kecantikan dan kekusutan lanskap ibukota Malaysia; menarik bila dilihat dari sini.

Mungkin mereka patut letakkan satu kawasan persinggahan, kira macam Lay By di Lebuhraya Utara Selatan. Bolehlah selain untuk penunggang motor berteduh sewaktu hujan, dijadikan tempat istirehat. Kerana, melainkan aku ialah seorang Superman, maka tiada tempat lain dapat aku menyaksikan Kuala Lumpur disekeliling aku.

Dan aku memepunyai kepercayaan kuat, yang Lebuhraya bertingkat inilah kereta terbang tahun 2020 yang kita pernah bayangkan 10, 20 tahun dulu. Kereta, dan motor ini terbang tak melalui jalan darat, tapi melalui jalan yang diangkat (bertingkat macam lebuhraya ni).

Mungkin kita sudah capai impian kereta terbang, tapi aku masih tertanya; adakah Harun sudah berjumpa dengan ikan pausnya?

0 Comments:

Post a Comment